Toyota Alphard - MPV mewah serendah RM 40k, baloi untuk angkat 'second hand'?
Faisal · Nov 12, 2020 08:00 PM
Sekali pandang, Toyota Alphard dan Vellfire nampak seperti sebuah kotak besar yang mempunyai tayar. Hakikatnya, MPV mewah ini cukup laris dalam kalangan kereta terpakai dan recond.
Perkara ini jelas di laman jualan kereta dimana terdapat pelbagai unit Alphard dan Vellfire yang dijual beli.
MPV sebesar ini menjadi begitu laris kerana faktor ruang yang diberi dan kemudahan keluar masuk dimana ia sukar untuk ditandingi sama sekali. Kemudahan ini dibantu oleh pintu gelangsar yang membolehkan anda keluar dan masuk MPV ini seperti sebuah bilik yang besar berbanding sebuah kereta.
Malah dengan harga yang kini serendah RM 40k, Toyota Alphard terpakai menawarkan pembelian yang menarik.
Mari ikuti kupasan selanjutnya.
Seperti mana-mana kereta terpakai, tiada kereta sama yang mempunyai keadaan yang serupa. Oleh itu, anda digalakkan untuk membeli terus daripada pemilik. Anda juga disarankan untuk abaikan unit yang tidak mempunyai rekod servis yang penuh kerana ia berkemungkinan telah diubah perbatuan (mileage). Selain itu, anda digalakkan untuk meneliti sekiranya unit tersebut pernah mengalami sebarang kerosakan kemalangan ataupun banjir.
Untuk itu, kami menasihati anda untuk membeli unit yang rasmi dan mempunyai rekod penyelenggaraan yang penuh.
Pada masa yang sama, kereta terpakai yang murah tidak semestinya bermaksud ia mempunyai kos penyelenggaraan yang rendah.
Toyota Alphard generasi kedua (AH10) merupakan antara pilihan yang baik
Harga alat ganti kebiasaannya akan kekal walaupun harga kereta telah jatuh.
Model manakah patut dibeli?
Toyota Alphard generasi pertama
Dari segi mekanikal, Toyota Alphard generasi pertama dan kedua adalah lebih kurang sama. Ia bergantung kepada berapa jauh bajet anda boleh pergi.
Untuk sesetengah pihak, enjin 2.4L sudah mencukupi
Varian 2.4L cukup memadai sekiranya anda memandu berseorangan atau mempunyai pemandu. Sekiranya anda selalu membawa penumpang dan keluarga, varian 3.0L atau 3.5L lebih sesuai kerana ia memberikan tenaga yang diperlukan.
UMW Toyota Motor pernah menawarkan Toyota Alphard generasi kedua dengan enjin 3.5L V6
Dari segi cukai jalan (road tax), varian 2.4L berharga RM 729. Varian 3.0L pula berharga RM 1,630. Untuk varian 3.5L, pemilik akan dikenakan sebanyak RM 2,369.
Sebagai perbandingan, enjin 2.4L pada Toyota Alphard menghasilkan 160 PS dan 195 Nm tork. Enjin 3.0L pula menghasilkan 220 PS dan 310 Nm tork. Sekiranya cukai jalan tidak menjadi masalah, enjin 3.5L adalah pilihan yang baik kerana jumlah tenaga sebanyak 280 PS dan 330 Nm tork sememangnya mengagumkan.
Berdasarkan pasaran terkini, model lama sekitar tahun 2002 agak berbaloi sekiranya unit tersebut dijaga dengan baik.
Dari segi harga, Toyota Alphard generasi pertama (AH10) berada dalam lingkungan RM 40,000. Generasi kedua (AH20) pula berharga dalam lingkungan RM 75,000.
Pada masa yang sama, anda dinasihatkan untuk mengelakkan unit yang telah dimodifikasikan. Mengapa? Nanti kami terangkan di bawah.
Apakah isu dan masalah umum?
Kami telah berbual dengan pengurus Kegani Racing Services, En. Kenny untuk mengetahui isu umum mengenai Toyota Alphard.
Antara isu yang sering berlaku pada pemilik Toyota Alphard tidak mengira generasi mana ialah pada rak stereng kuasa (power steering rack) yang berbunyi.
Bunyi ini sering muncul ketika melalui jalan yang kasar. Malah sesetengah pemilik melaporkan bunyi yang sama walaupun kereta dalam keadaan berhenti.
Kos untuk membaik pulih isu power steering rack ini mencecah RM 5,000.
Bercakap mengenai power steering, pemilik Toyota Alphard gemar menukar roda kepada yang lebih besar untuk penampilan yang lebih menarik. Namun begitu, hobi ini boleh menghauskan komponen suspensi dengan lebih cepat. Maka itu, tidak hairanlah dengan segala bunyi yang dihasilkan oleh komponen-komponen ini.
Counter balance shaft yang bermasalah. Imej: goonet
Isu lain yang terdapat pada Toyota Alphard ialah pada bantang pengimbang (counter balance shaft). Khusus untuk varian 2.4L, shaft yang sudah haus boleh mengakibatkan enjin untuk memakan minyak hitam. Menurut En. Kenny, kos untuk mengganti shaft ini tidak melebihi RM 2,000.
Kegagalan pintu gelangsar agak mahal untuk dibaiki. Imej: goonet
Selain itu, Toyota Alphard sinonim dengan masalah pintu gelangsar elektronik dimana ia boleh gagal berfungsi. Anggaran kos untuk membaiki masalah pintu ini adalah sekitar RM 1,000 hingga RM 2,000 untuk setiap pintu.
Sebagai maklumat tambahan, unit yang diimport recond tidak mempunyai penyejuk minyak gearbox (ATF cooler). Dengan cuaca Malaysia yang panas sebegini, perkara ini mungkin boleh membebankan komponen gearbox. Oleh itu, anda boleh cuba menguji pandu terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada ia tersentak (jerking) ataupun tidak. Sekiranya ia jelas, gearbox tersebut perlu diselenggara.
Apa perkara lain yang perlu anda tahu?
Seperti yang dimaklumkan, adalah lebih baik untuk anda membeli terus daripada pemilik untuk mengurangkan risiko penipuan mileage.
Pastikan ada buku yang mengandungi sejarah servis. Imej: cocolog-nifty
Di samping itu, Alphard pada generasi yang lebih awal disarankan untuk diservis pada selang 5,000 km hingga 7,000 km. Generasi yang lebih baharu pula sudah boleh diservis pada selang 10,000 km.
Prestasi brek Toyota Alphard mungkin tidak mencukupi. Imej: minkara
Untuk sebuah MPV sebesar ini, sesetengah pengguna berpendapat bahawa kuasa pemberhentiannya agak lemah terutama apabila kereta dipenuhi dengan penumpang dan barang. Oleh itu, anda boleh menaikkan prestasi brek dengan menukar pad brek (brake pad), cakera brake (brake disc), ataupun hos brek.
Dengan pasaran yang dipenuhi dengan Toyota Alphard dan Vellfire, kami cadangkan anda untuk memilih unit yang diimport rasmi oleh Toyota Malaysia. Hal ini berikutan kerana ia mempunyai sokongan selepas jualan dan jaminan selama 5 tahun.
Walau apapun, anda juga boleh membeli unit recond sekiranya unit tersebut mempunyai lampiran jualan(Japanese vehicle auction sheet) dan anda boleh faham fungsi dan kawalan dalam bahasa Jepun.
Beberapa Toyota Alphard terlibat dengan pemanggilan semula beg udara Takata
Dengan panggilan semula untuk pengembung beg udara Takata, anda dinasihatkan ke UMW Toyota Motor untuk mengetahui sekiranya unit tersebut terlibat tidak mengira unit recond sekalipun. Selamat membeli!
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen