Toyota Corolla Cross 2021 vs Honda HR-V – apa rahsia yang patut rakyat Malaysia tahu?
Faisal · Mar 18, 2021 06:00 PM
0
0
Dengan slogan “The next big thing" dan “Why settle for less”, UMW Toyota nampaknya yakin bahawa Toyota Corolla Cross yang bakal mereka lancarkan sebenarnya lagi padu daripada Honda HR-V.
Kebangkitan oleh UMWT ini tidak menghairankan sama sekali memandangkan selama ini, mereka hanya mampu melihat Honda HR-V merangkul gelaran SUV buatan luar yang paling laris sejak tahun 2015.
Minggu depan, UMWT akan melancarkan Toyota Corolla Cross 2021 tetapi sekali harapan bahawa SUV ini dapat menghasut anda ke bilik pameran mereka, bukannya Honda.
Apa sebenarnya Toyota Corolla Cross ini?
Dengan nama yang diberi, model ini diibarat seperti sebuah Corolla Altis tetapi versi crossover. Disebabkan itu, trenkuasa, ciri, dan kelengkapan keselamatan dijangka sama seperti Corolla Altis.
Untuk menyaingi Honda HR-V, UMWT dijangka menawarkan sesuatu yang lebih menarik berbanding SUV segmen B yang cukup hangat itu.
Corolla Cross akan tebus kelemahan yang ada pada C-HR sebelum ini
Pertama sekali, Toyota Corolla Cross dijangka sarat dengan kelengkapan keselamatan.
Spesifikasi yang sah akan diumumkan pada 25 Mac ini. Apapun, ciri keselamatannya dijangka sama seperti apa yang terdapat pada Corolla Altis 1.8 G. Oleh yang demikian, ciri ADAS Toyota Safety Sense (TSS) dijangka hadir pada varian yang lebih atas.
Sebagai perbandingan, Honda HR-V hanya mendatangkan ciri kamera Honda LaneWatch sahaja. itupun hanya untuk varian RS.
Kelengkapan keselamatan
Ciri
Honda HR-V RS
Toyota Corolla Cross
ESC
✓ (VSA)
✓ (VSC)
ESS
✓
✓
HSA
✓
✓
Beg udara
6
7
Auto Brake Hold
✓
✗
AEB
✗
✓ (PCS)
FCW
✗
✓
ACC
✗
✓ (DRCC)
LKA
✗
✓ (Lane Tracing)
LDW
✗
✓ (LDA)
Auto High Beam
✗
✓
BSM
LaneWatch
✓
Seperti Corolla Altis, Corolla Cross juga dijangka hadir dengan ciri Blind Spot Monitor (BSM) dan kamera 360-darjah. Untuk maklumat anda, kedua-dua ciri tidak ada langsung pada Honda HR-V.
Corong penyaman udara di tempat duduk belakang juga dijangka hadir pada Corolla Cross memandangkan Corolla Altis ada ciri ini. Sebagai perbandingan, Honda HR-V hanya bergantung pada penyaman udara depan untuk menyejukkan keseluruhan bahagian kabin.
Menurut spesifikasi yang terdapat di Thailand, Toyota Corolla Cross mempunyai kapasiti but seluas 487 liter. Namun begitu, Corolla Cross di sana tidak didatangkan dengan tayar ganti. Kalau ada, kapasiti but berkurang ke 440 liter. Apapun, ia tetap lebih besar daripada but Honda HR-V (437 liter).
Dimensi
Honda HR-V
Toyota Corolla Cross
Panjang (mm)
4,346
4,460
Lebar (mm)
1,790
1,825
Tinggi (mm)
1,605
1,620
Jarak roda (mm)
2,610
2,640
Ruang but (liter)
437
440
Seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross di Malaysia akan ditawarkan dengan enjin petrol 1.8L aspirasi natural. Enjin yang sama pada Corolla Altis ini menghasilkan 139 PS dan 172 Nm tork. Berbanding dengan Honda HR-V, enjin ini mempunyai jumlah tork yang serupa. Namun begitu, kuasanya kurang 3 PS daripada Honda HR-V.
Output enjin
Model
Kuasa (PS)
Tork (Nm)
Toyota Corolla Cross
139
172
Honda HR-V
142
172
Apapun, kedua-dua saingan ini menggunakan transmisi CVT dan berpacuan roda depan.
Jadi, bilakah pelancarannya?
Seperti yang pernah kami laporkan, UMWT akan melancarkan Toyota Corolla Cross pada 25 Mac ini.
Sebelum ini, kami pernah laporkan bahawa SUV segmen B ini akan dipasang di kilang Toyota di Bukit Raja. Tetapi dengan spyshot bulan lepas yang dilihat di Wesport, Klang, nampaknya batch awal akan hadir sebagai model import (CBU) dari Thailand. Model yang dipasang tempatan (CKD) pula dijangka beransur kemudian.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.