Proton Saga R3 Limited Edition 2021 - gaya saja, peminat R3 boleh terima ke?
Faisal · Feb 22, 2021 07:00 PM
0
0
Minggu lepas, Proton menghidupkan semula model R3 melalui pelancaranR3 Limited Edition buat Proton Saga dan Iriz.
Tetapi, adakah ini yang diharapkan oleh pengikut dan peminat R3 tegar? Dengan visual yang hampir sama dengan Proton Saga 35th Anniversary Edition, apa yang unik pada model R3 seperti ini? Mari kita kupas sama-sama.
Mengenai Saga dan Iriz R3 Limited Edition, ia sedikit lain kerana tiada sebarang peningkatan dari segi prestasi. Yang ada hanyalah penambahan kosmetik sahaja.
Apa yang istimewa pada Saga R3 Limited edition?
Secara mata kasar, sentuhannya nampak sama seperti Proton Saga 35th Anniversary Edition tahun lalu.
Perkara ini jelas pada sentuhan warna kuning di bahagian gril, cermin sisi, skirting depan dan belakang, dan juga skirting sisi.
Seperti 35th Anniversary Edition yang lalu, edisi R3 Limited Edition juga berkait rapat dengan varian 1.3 Premium. Disebabkan itu, ia datang dengan rekaan roda 15 inci yang sama tetapi dengan warna kelabu jenis matte.
Selain daripada itu, Saga R3 Limited Edition tampil dengan sticker R3 yang dapat dilihat di bahagian sisi serta cermin depan dan belakang. Malah, terdapat beberapa sentuhan lencana ‘R3’ dan ‘Limited Edition’ di sekeliling kenderaan.
Bahagian dalam yang hampir sama
Proton Saga R3 Limited Edition hadir dengan sentuhan kuning yang sama seperti 35th Anniversary Edition. Elemen ini dapat dilihat pada kluster instrumen, corong penyaman udara, dan ruang storan di bawahnya.
Unik buat Saga R3 Limited Edition ialah karpet, trim pada roda stereng, dan lencana R3 pada papan pemuda di bahagian penumpang.
Menariknya, Saga R3 Limited Edition datang dengan kerusi kulit yang lengkap dengan jahitan ‘R3 Limited Edition’. Untuk maklumat anda, edisi 35th Anniversary Edition tahun lepas hanya datang dengan kerusi fabrik.
Prestasi – mungkin bukan kali ini
Agak mengecewakan, tiada sebarang peningkatan dari segi prestasi kerana ia hanya ditawarkan dengan enjin 1.3L aspirasi natural yang sama dengan Proton Saga standard. Untuk itu, ia mempunyai kuasa sebanyak 95 PS dan 120 Nm tork sahaja. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan yang sama.
Moga ada versi yang lebih padu…
Secara keseluruhan, Proton Saga R3 Limited Edition diibarat seperti sambungan kepada 35th Anniversary Edition yang ditawarkan sebanyak 1,100 unit pada tahun lepas. Apa yang membingungkan kami ialah elemen yang hampir sama diantara mereka sedangkan R3 sepatutnya jauh lebih istimewa.
Malah, stok untuk Saga R3 Limited Edition juga dipertingkatkan kepada 2.000 unit. Jadi, apa yang ‘Limited’ di sini?
Walau apapun, model R3 telah kembali. Walaupun sekadar penambahan kosmetik saja, diharapkan Proton dapat menghasilkan semula barisan model R3 yang kita kenali selama ini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.