Perodua Myvi: Apa yang perlu anda tahu sebelum membeli kereta terpakai paling laris di Malaysia?

Faisal · 2020-10-14 18:50:00

Dari segi bayaran bulanan, pengangkutan persendirian seperti kereta berharga lebih tinggi berbanding pengangkutan awam. Namun demikian, ia memberikan kemudahan dimana jadual pergerakan harian tidak akan terikat di samping boleh memunggah barang dengan lebih bebas. Oleh itu, anda boleh membeli kereta terpakai yang berharga lebih rendah tetapi masih mempunyai pakej yang menarik dan berbaloi.

Kabin Perodua Myvi generasi pertama
Kabin Perodua Myvi generasi kedua

Antaranya ialah Perodua Myvi generasi pertama dan kedua. Perodua Myvi mempunyai pakej yang menarik dimana ia mempunyai ruang kabin yang cukup luas tetapi dengan ukuran luaran yang masih kompak. Selain itu, kos penyelenggaraan juga cukup rendah dan tidak mudah meragam. Hal ini memberikan keyakinan kepada pengguna untuk bergantung terhadap kenderaan persendirian mereka.

Perkara ini jelas terbukti apabila Perodua Myvi menjadi kereta terlaris dalam pasaran kereta terpakai.

Untuk memudahkan anda, kami akan mencadangkan model yang mempunyai transmisi automatik dan tidak dimodifikasikan untuk mengekalkan kualiti tulen. Secara umumnya, adalah lebih baik untuk anda membuat pembelian terus daripada pemilik untuk mengurangkan cas serta penipuan terhadap perbatuan (mileage) dapat dielakkan.

Perodua Myvi generasi pertama (2005 – 2011)

Perodua Myvi generasi pertama didatangkan dengan enjin 1.0L dan 1.3L tetapi kami menyarankan anda untuk memilih enjin 1.3L kerana tenaga sebanyak 86 PS dan 116 tork ini memberi keseimbangan di antara prestasi dan penjimatan minyak. Transmisi automatik yang dipadankan mempunyai 4-kelajuan.

Kami menyarankan anda untuk membeli kereta setelah ia menerima kemaskini (facelift) pada pertengahan usia kerana isu dan permasalahan pada awal pengeluaran kebiasaannya sudah diselesaikan. Namun begitu, harga yang dipamerkan kebiasaannya belum termasuk harga atas jalan (OTR) dan insurans.

Membeli secara tunai

Sumber: mudah.my

Sekiranya anda ingin membeli Perodua Myvi generasi pertama secara tunai, Perodua Myvi facelift tahun 2008 boleh dimilliki dengan harga sekitar RM 14,000. Menariknya, ia sudah mempunyai sambungan USB dan Bluetooth.

Sekiranya anda meminati rupa paras yang lebih garang, anda boleh membeli Perodua Myvi SE tahun 2009 dengan harga serendah RM 15,000.

Julat harga pasaran Perodua Myvi SE 

Membeli secara bayaran bulanan

Sekiranya anda ingin membeli secara bayaran bulanan pula, Perodua Myvi tahun 2011 boleh dimiliki dengan harga sekitar RM 15,000. 

Isu umum

Imej: acscarservice

Perodua Myvi generasi pertama terkenal dengan isu minyak pemampat penyaman udara (air-con compressor) yang bertukar menjadi hitam. Perkara ini terjadi apabila kuasa pelinciran telah berkurangan dalam suatu jangka masa.

Imej: kechiksempoi.blogspot

Oleh itu, ia boleh menjadi habuk besi halus. Hasil geseran kuat di dalam compressor boleh mengakibatkan kegagalan fungsi penyaman udara.

Dengan itu, minyak compressor disarankan untuk ditukar sewaktu melakukan servis penyaman udara yang berharga sekitar RM 250 hingga RM 280.

Komponen penyaman udara kereta

Sekiranya penyaman udara gagal berfungsi, kos membaik pulih adalah sekitar RM 1260 hingga RM 1920. 

Sebagai tambahan, sesetengah pengguna mengalami isu brek yang bergegar serta cecair petrol yang memasuki bahagian kabin.

Perodua Myvi generasi kedua (2011 – 2017)

Kali ini, Perodua Myvi yang dikenali sebagai “Lagi Best” didatangkan dengan pilihan enjin 1.3L dan 1.5L. Enjin 1.3L menghasilkan 90 PS dan 117 Nm tork manakala enjin 1.5L menghasilkan 102 PS dan 136 Nm tork. Tenaga ini dipadankan dengan transmisi yang sama pada generasi sebelumnya.

Pada tahun 2015, ia menerima kemaskini pada kelengkapan, kosmetik, dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik.

Sekiranya anda berminat dengan generasi kedua, Perodua Myvi 1.3L Premium X tahun 2015 boleh dimiliki dengan harga sekitar RM 24,500.

Jika anda mahukan lebih kuasa, Myvi 1.5L SE tahun 2015 boleh dimiliki dengan harga sekitar RM 26,500 hingga RM 34,000. 

Harga berdasarkan Carsome

Pada masa yang sama, anda boleh memiliki kamera undur sekiranya anda memilih varian 1.5L Advance yang berharga sekitar RM 35,000.

Contoh harga atas jalan (OTR) termasuk insurans

Isu umum

Imej: AlifMohdNor

Perodua Myvi generasi kedua terkenal dengan isu enjin terlalu panas (overheat). Hal ini berlaku apabila penyukat suhu (thermostat) untuk menjalankan proses penyejukan enjin gagal berfungsi.

Bacaan suhu enjin

Perkara ini mengakibatkan suhu enjin meningkat secara melampau. Sekiranya isu “overheat” terjadi, harga penukaran thermostat adalah sekitar RM 100 hingga RM 200.

Imej: azammudin86.blogspot

Untuk penjagaan yang rapi, anda boleh melakukan servis sistem penyejukan enjin untuk setiap tahun yang hanya memakan kos sekitar RM 70 hingga RM 150. 

Konklusi

Secara keseluruhan, kami mencadangkan anda untuk membeli Perodua Myvi generasi kedua kerana ia mempunyai kurang isu berbanding generasi pertama. Dengan harga yang tidak jauh beza, anda juga mendapat kereta yang lebih baik dan lebih baru.

Anda boleh mengetahui purata penurunan harga Perodua Myvi generasi pertama dan kedua seperti berikut:

Generasi modelHarga baruHarga terpakaiPurata penurunan harga (tahunan)
(G1)1.3 Premium 2008 ~ RM 49,200 ~ RM 14,0005.96 %
       1.3 SE 2009~ RM 52,900~ RM 15,0006.5 %
       1.3 Premium 2011~ RM 49,200~ RM 15,0007.7 %
(G2)1.3 Premium X 2015~ RM 47,500~ RM 24,5009.7 %
       1.5 SE 2015~ RM 53,500~ RM 26,50010 %
       1.5 Advance 2015~ RM 58,500~ RM 35,0008 %

Walau bagaimanapun, Perodua Myvi generasi pertama dan kedua masih tidak mempunyai kawalan kestabilan (ESC). Secara alternatif, Perodua Axia GXtra yang berharga RM 33,940 merupakan kereta baharu yang paling murah untuk memiliki kawalan kestabilan (ESC). Selain itu, Perodua Axia mempunyai keluasan kabin yang sama dengan Perodua Myvi generasi kedua.

Sekiranya anda mahukan kenderaan yang lebih berkuasa, Perodua Myvi terpakai sememangnya berbaloi. Sebaliknya, Perodua Axia GXtra turut menawarkan pembelian yang menarik melalui ciri keselamatan yang lebih terkini. Selamat membeli!

Faisal

Faisal Penulis

Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.

Proton
Perodua
Honda
Toyota
Nissan
Mazda
Mercedes-Benz
BMW
Volvo
Ford
Hyundai
Kia