4 kereta yang nampak seperti Proton Saga Edisi Ulangtahun
Mersita · Jul 8, 2020 11:30 AM
Dengan pelancaran Proton Saga Edisi Ulangtahun yang akan menjelang esok, spekulasi telah dibuat tentang rupa rekaan kereta tersebut secara terperinci. Seperti biasa, peminat-peminat kereta di luar sana cuba untuk memvisualisasikan rupa sebenar kereta tersebut sebelum pelancarannya untuk membina ‘hype’ dan ‘meracun’ peminat-peminat Proton di luar sana.
Berdasarkan imej yang disediakan oleh rakan kami di Funtasticko, yang pastinya Saga edisi istimewa ini akan didatangkan dalam palet warna hitam dan kuning.
Baru-baru ini, kami dapat membayangkan rupa Saga Edisi Ulangtahun dengan lebih terperinci lagi iaitu melalui imej rendering yang dihasilkan olehPhilip Choy.
Cantik, kan? Cat hitam dan perincian kuning tampak serasi bersama seperti yang boleh dilihat pada grilnya, bampar hadapan, dan juga rim kuning! Logo harimau Proton berwarna kuning juga memberikan sentuhan lebih eksklusif pada Saga baru ini.
Kredit foto: Philip Choy
Di bahagian belakangnya, perincian kuning tampak lebih lembut dengan butiran kuning dicat pada bahagian bawah bampar belakang dan sepanjang pemegang but dimana tertulisnya nama Proton.
Semua visualisasi ini membuatkan kami terfikir; apakah sumber inspirasi Proton dalam menghasilkan rekaan dan palet warna ini? Kami dapat rasakan ada 4 kereta yang barangkali menjadi inspirasi pereka Proton kali ini di papan lukisan mereka.
1. Kereta Formula One John Player Special Lotus
Lotus, suatu ketika dahulu, pernah mendominasi Formula One dimana mereka menang dalam 7 kejohanan ‘constructor’ termasuklah kemenangan berturut-turut pada 1972 dan 1973. Ketika tahun kegemilangan ini, sut pakaian kumpulan British ini mempunyai warna John Player Special (JPS) terkenal iaitu hitam-emas. Dengan ini, satu ikon yang dikenali telah dilahirkan.
2. Lotus Esprit
Untuk meraikan kemenangan Lotus pada kejohanan ‘constructor’ dan pangkat pemandu ketika musim Formula One 1978, Lotus menghasilkan 100 unit Esprit S2s yang dicat secara eksklusif. Kereta ini dikenali dengan rim emasnya, warna diinspirasikan daripada JPS, dan stiker World Champion.
3. Toyota Trueno AE86 Black Limited
Satu lagi sumber inspirasinya mungkin juga kereta ‘lejen’ Trueno AE86 Black Limited. Hanya 400 model Black Limited yang dihasilkan pada 1986 ketika tahun-tahun terakhir produksi AE86. Kereta ini dilambangkan dengan lencana Trueno emas di hadapannya serta rim “Snowflake” bersalut emas.
4. Mansory Bugatti Veyron Linea d'Oro
Hanya satu Bugatti Veyron edisi istimewa ini yang pernah dihasilkan. Ia didatangkan dengan badan yang dikemasi fiber karbon hitam serta memaparkan rim dan kemasan emas. Ia bukanlah hanya estetika visual semata-mata kerana Mansory telah memberikan Veyron ini naiktaraf dari segi prestasi. Ia mampu menjana kuasa sebanyak 1,125 PS dari enjin W16 8 liter. Harganya? $3 juta. (:
Inilah dia, sumber-sumber inspirasi yang barangkali menjadi rujukan untuk rekaan Proton Saga Edisi Ulangtahun kali ini. Ramai yang gemarkan kombinasi warnanya dan ini terbukti dalam kereta-kereta yang pernah dihasilkan sebelum ini. Sudah 35 tahun berlalu dan Saga masih lagi memberi impak besar terhadap rakyat Malaysia. Jom nantikan pelancaran rasminya tak lama lagi!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen