Ramai hilang kerja, ‘kereta pasar malam’ terpakai laku keras dan ini cadangan kami
Mersita · Nov 17, 2020 01:00 PM
0
0
Memang biasa kita dengar sejak kebelakangan ini – orang hilang pekerjaan atau dipotong gaji disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Seperti satu kuasa yang sukar ditahan, orang ramai terpaksa akur dengan ketentuan dan mula mencari cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ada juga yang menganggap perkara ini sebagai satu peluang untuk akhirnya memulakan perniagaan sendiri. Sebelum ini, kita gemar bercerita dengan rakan-rakan di pejabat tentang impian kita untuk bekerja sendiri dan "berhenti buat bos semakin kaya".
Walau keadaan yang memaksa kita kali ini amat pedih untuk ditelan, anggaplah ini satu pintu yang dibuka luas dengan keterpaksaan untuk kita akhirnya merealisasikan impian dan ‘omong kosong’ yang sering kita sebut-sebut tika waktu rehat kerja 9-5 kita. Fikiran kena positif.
Saya pernah berbual kosong dengan rakan serumah tentang memulakan bisnes – dari tarik kereta, jual kek dan pemanis mulut, ‘carboot sale’, jual cakoi tepi jalan, dan macam-macam lagi. Kami mula bualkan tentang kereta yang sesuai untuk bantu merealisasikan angan-angan ini. Saluran paling murah untuk dapatkan kenderaan pastinya melalui pasaran kereta terpakai. Van, MPV, trak pikap antara cadangan paling kerap disebut-sebut.
Oleh itu, tak hairanlah masa kini semakin ramai yang mula membeli van-van dan kereta 4WD terpakai. Menurut laporan Sinar Harian dimana akhbar itu menemu-bual seorang penjual kereta terpakai, ramai pelanggan mencari van dan pacuan empat roda kerana ada yang diberhentikan kerja dan hilang sumber pendapatan. Bila mereka dapat wang pampasan, mereka berniat untuk memulakan perniagaan sendiri. Penjual itu berkata kenderaan jenis itu masuk ke kedai mereka, ia boleh habis terjual kurang daripada sebulan.
Menurut penjual tersebut, van terpakai dijual pada harga sekitar RM20,000 – RM 70,000, manakala untuk kereta 4WD pula selalunya berharga RM 50,000 ke bawah.
Jika ikutkan pasaran kereta baru, sebuah van Toyota Hiace Panel Van 2.5 Turbo Diesel berharga RM 103,000. Menurut tinjauan kami di Mudah, Toyota Hiace lama yang terpakai dijual serendah RM 10,000. Nissan Vanette C22 juga adalah antara van ‘pasar malam’ yang paling digemari, dan yang terpakai boleh didapati serendah RM 9,000 – RM 10,000.
Van lain seperti Perodua Rusa, Toyota LiteAce dan lain-lain dijual serendah RM 3,000 – RM 5,000. Yang penting, anda kena pastikan kondisi mana-mana kereta terpakai berada dalam keadaan baik.
Bagi yang mahukan 4WD pula, antara pilihan yang ada dalam pasaran kereta baru termasuklah Mitsubishi Triton, Toyota Hilux, atau Isuzu D-Max. Mitsubishi Triton baharu dijual pada harga bermula dari RM 100,200 di Semenanjung Malaysia. Isuzu D-Max Single Cab 1.9 liter 4x4 MT yang baharu pula bermula dari RM 85,799.20 manakala Isuzu D-Max 1.9 liter 4x4 AT pula bermula dari RM 115,799.20. Kedua-dua model ini yang terpakai dilihat dijual dari harga serendah RM 17,000.
Kegemaran rakyat Malaysia pula iaitu Toyota Hilux yang baru berharga bermula dari RM 92,880 (Single Cab 2.4 MT 4x4) dan RM 108,880 (Double Cab 2.4E AT 4x4). Toyota Hilux terpakai pula dilihat dijual dari harga serendah RM 26,000.
Mungkin ada yang mahukan MPV untuk keluasan ruang simpanannya serta sesuai sebagai kereta keluarga. Pilihan paling murah di pasaran kereta baru pastinya Perodua Alza (harga bermula dari RM 49,944 untuk varian manual dan RM 52,661 untuk automatik). MPV segmen B ini berkongsi enjin 3SZ-VE Myvi generasi terdahulu.
Seperti kebanyakan MPV, kerusi barisan kedua dan ketiganya boleh dilipat rata 50:50 dan ini memberikan ruang but yang lebih luas. Dengan semua tempat duduk didirikan, butnya sahaja berkapasiti 83 liter. Perodua Alza transmisi automatik yang terpakai dilihat dijual serendah RM 18,500.
Sesuai untuk yang mencari kereta murah dan mahukan ruang simpanan besar
Kesimpulan
Yang pasti, mereka yang sudah punyai kereta yang cukup bagus untuk dipandu, boleh diharap dan dengan kos penjagaan/penyelenggaraan yang murah sudah beruntung dan boleh saja digunakan untuk membuat apa-apa pekerjaan dalam kemampuan sendiri. Jika perniagaan baru dibuat bersama ahli keluarga atau rakan dan ada kapital yang mencukupi, boleh saja pertimbangkan kereta baru. Tapi, kereta terpakai juga boleh dipertimbangkan tapi anda kena pastikan ia dijual dalam kondisi yang baik.
Kami banyak menulis tentang panduan membeli kereta terpakai (cara periksa enjin, kereta yang pernah kemalangan, kereta yang pernah kena banjir, periksa saman, dll.) yang boleh anda rujuk. Oleh itu, ikuti kami di Facebook untuk dapatkan lebih banyak tips dan panduan berguna!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.