Selepas beberapa spekulasi, teaser, dan spyshot yang tular, akhirnya Toyota RAV4 2020 telah dilancarkan di tanah air kita. Ianya diimport khas dari Jepun (CBU).
Nama RAV4 adalah salah satu nama yang paling dikenali dalam barisan kenderaan Toyota. Tambah pula, RAV4 adalah SUV pertama yang mencipta segmen crossover kompak pada tahun 1994, maka tak heranlah kenapa ada ramai peminat RAV4 diseluruh dunia.
Kini dalam generasi kelima, RAV4 kini menghadapi saingan sengit dari ramai pengeluar kereta jenama lain dalam pasaran SUV segmen C yang sedang hangat.
Rekan bentuknya pertama kali ditunjukkan sebagai FT-AC Concept pada tahun 2017. Anda boleh lihat sendiri bagaimana ciri-ciri dan rupa asasnya telah direalisasikan ke RAV4 generasi kelima ini.
Sebut pasal RAV4 ini saja, memang tidak sah kalau kita tak sebut nama Honda CR-V ataupun pencabar terbaharu dalam segmen ini iaitu Mazda CX-5. Benar, kedua-dua SUV ini memang pencabar yang sebetulnya kepada RAV4.
Tetapi apabila anda melihat harga RAV4, anda mula terasa macam nak marah ataupun hairan kenapa RAV4 ini mahal berbanding CR-V dan CX-5. RAV 2.0L CVT bermula pada RM 196,500, manakala 2.5L 8AT beharga RM 215,700. Kedua-dua adalah tanpa cukai SST.
Sebagai perbandingan, model teratas Honda CR-V 1.5 TC-P dijual pada harga RM 175,900, manakala Mazda CX-5 2.5 Turbo bernilai RM 181,660.
Jawapannya: sebab RAV4 datang sebagai kenderaan import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, manakala CR-V dan CX-5 adalah pemasangan tempatan (CKD). Namun begitu, anda perlu melihat RAV4 lebih dari sekadar harga, kerana terdapat banyak poin yang positif tentang SUV ini.
UMW Toyota menawarkan dua enjin petrol Dynamic Force, bermula dari 2.0 atau 2.5 liter yang datang dengan D-4S direct injection dengan VVTI-iE.
Varian asas 2.0L datang dengan enjin 4-silinder petrol M20A-FKS dengan 173 PS dan 207 Nm tork pada 4,800 rpm yang dipadankan dengan kotak transmisi CVT.
Manakala varian teratas 2.5L pula hadir dengan enjin 4-silinder petrol A25A-FKS yang menghasilkan 207 PS dan 243 Nm tork pada 5,000 rpm, dipacu oleh transmisi 8-kelajuan Direct Shift automatik yang juga merupakan rangkaian kuasa yang sama pada Lexus ES 250 terbaharu.
Kedua-dua CVT dan 8AT mempunyai mod manual dengan paddle shifters dan datang dengan tiga mod pemanduan – Normal, Eco dan Sport.
Yang menarik sekali, kedua-dua varian datang dengan ciri kelengkapan yang sama melainkan perbezaan enjin dan transmisi sahaja. Jarang sekali pengeluar kereta hendak berbuat demikian, jadi disini pilihan pengguna hanya berdasarkan samaada anda sanggup membayar cukai jalan dan harga kereta yang lebih untuk prestasi kenderaan yang lebih berkuasa.
Pertama kali kami melihat RAV4 ini, teringat pada Toyota Land Cruiser yang lama. Reka bentuk eksterior RAV4 ini memberikan anda aura rugged dan old-school.
Kita boleh berterima kasih kepada Toyota kerana dapat menyuntik DNA-nya ke dalam rekaan yang berasaskan gabungan bentuk segi lintang (octagon) dan bentuk trapezoid.
Toyota menggelarkan RAV4 ini sebagai sebuah SUV yang sofistikated dan anggun. Dua oktagon bersilang pada sudut 90 darjah memberikan bayangan depan yang tegap sasa serta imej utiliti yang ditingkatkan di bahagian belakang (utiliti memang lebih baik dalam RAV4 baharu ini, jadi ianya bukan ilusi).
Setiap panel badan RAV4 memberi penampilan mantap yang menggabungkan atletisme dan karisma.
Panel hitam di bahagian bawah mengalir dari sisi sehingga ke arah belakang dengan motif poligonal, menimbulkan ilusi seolah-olah lengkungan roda menahan tayar dari kedudukan tinggi untuk menekankan pandangan badan SUV yang tinggi.
Terdapat penambahan aerodinamik dalam reka bentuk luaran juga. Sebagai contoh, lampu gabungan sudut belakang menyumbang kepada kestabilan melalui sirip penstabil aero pada lensa luar.
Malah pemegang pintu, spoiler belakang, dan reka bentuk sirip sisi turut membantu.
Kedua-dua varian 2.0L dan 2.5L hadir standard dengan lampu depan parabola Bi-LED dan lampu DRL dengan LED untuk menghasilkan sumber cahaya yang lebih premium.
Malah ada pintu belakang yang berkuasa dengan operasi bebas tangan (tendangan). Di bahagian luar, RAV4 datang dengan rim aloi 18 inci lima bilah yang dipadankan dengan tayar Bridgestone Alenza 225/60.
Tema bentuk segi lintang dan bentuk trapezoid bersambung di bahagian dalaman RAV4 yang hadir pada lubang panel instrumen, keliling pemegang pintu, dan garisan luaran pada gril pembesar suara.
Jika anda perhatikan dengan teliti, beberapa hiasan di RAV4 datang dengan warna mocha, dan ia digunakan dengan sebagai aksen pada bezel pemegang cawan depan, dulang yang memegang pad pengecas tanpa wayar Qi, serta ruang penyimpanan pada panel instrumen.
Corak yang sama digunakan di tempat lain tanpa bayangan mocha, seperti gril pembesar suara, di sekeliling pad pengecas Qi, dalam dulang di dalam kotak tengah, but belakang, dan di bahagian bawah tempat pemegang cawan depan.
Kualti kabinnya bagus atau setara dengan Toyota C-HR, tetapi ia bukanlah mencapai tahap kualiti RM 200,000. Sentuhan dan nuansana lebih dekat dengan kereta dalam julat harga bawah RM 150,000. Yang lain seperti butang pada stereng dan tombolnya padat untuk disentuh atau ditekan.
Sekiranya anda lebih mementingkan tahap praktikaliti, maka RAV4 tidak boleh menang dengan Honda CR-V kerana ia terdapat lebih banyak lubang dan simpanan di serata kabinnya.
Akan tetapi, Toyota RAV4 mempunyai ruang but terbaik di kelasnya dengan 580 liter ketika tempat duduk naik, dan 1,690 liter ketika tempat duduk belakang dilipat ke bawah. CR-V dan CX-5 tak boleh lawan beb!
Skrin sesentuh DVD 7 inci (ada orang pakai DVD lagi ke?) mudah digunakan dan dilengkapi dengan Android Auto dan Apple CarPlay.
Sistem suara juga hebat kerana ia mengeluarkan suara yang kuat, tajam, dan jernih melalui 6 pembesar suara. Bahkan RAV4 dilengkapi dengan sistem DVR terbina dalam.
Di sinilah kami rasakan harga 200k itu padan dengan apa yang ditawarkan. Untuk pemanduan ini, hanya ada armada varian 2.5L yang tersedia, jadi kami akan memberi pandangan berdasarkan tanggapan varian tersebut.
Kami memulakan perjalanan kami dengan memandu RAV4 selama setengah hari melalui bandar Shah Alam dari HQ UMW Toyota sebelum memasuki lebuh raya menuju ke Pulau Indah dan kembali.
Perkara pertama yang kami perasan adalah betapa tajamnya tindak balas pedal minyak dari kedudukan statik. Enjinnya sangat responsif pada rpm yang rendah.
Dengan kuasa 207 PS dan tork 243 Nm, enjin 2.5-liter Dynamic Force sesuai dengan namanya kerana ia memberikan pecutan dan prestasi responsif dengan cara yang paling efisien sambil memberikan bacaan ekonomi bahan bakar yang baik.
Dengan gear tambahan dari transmisi Direct Shift 8-kelajuan automatik, daya dan tork disebarkan sama dari jarak bawah dan keatas rpm. Ini memudahkan kami untuk memotong dalam varian 2.5L.
Secara tidak langsung, kami pun terbayang bagaimanalah agaknya rasa dan perasaan untuk memandu Toyota Camry jika ia datang dengan enjin Dynamic Force ini.
Kami telah memuji platform TNGA berkali-kali sebelum ini tetapi apabila ia sangatlah bagus, ia memang patut mendapat pujian sekali lagi.
RAV4 menggunakan platform TNGA-K yang menyokong Camry dan Lexus ES, dan pengalaman pemanduan kami dengan casis ini tiap kali tidak pernah mengecewakan.
Ia mengendalikan selekoh dengan cara yang paling lembut dan patuh. Kami secara peribadinya berpendapat RAV4 menawarkan kemampuan memegang jalan terbaik di kalangan pesaingnya kerana ia dengan mudah mengatasi segala liku dan lubang di jalan.
Tidak ada rasa kosong di stereng dan beratnya cukup untuk memberikan anda rasa konfiden. Cara tindak balas stereng terhadap input anda adalah linear (memang karekter stereng Toyota) tetapi dengan ketepatan yang ditingkatkan. Ini membuat kami berasa terkejut sebentar, memandangkan ini adalah kenderaan jenis SUV dan bukannya sedan.
Umumnya, SUV masa lalu bukanlah sebuah kenderaan yang anda berasa begitu seronok ketika memandunya, tetapi SUV generasi terbaru dari Toyota dan Mazda merubah segala persepsi anda terhadap SUV.
Walau bagaimanapun, Mazda CX-5 membuatkan anda terasa sedikit over-excited, oleh itu kami berpendapat bahawa RAV4 berjaya mengimbangi perasaan pengalaman pemanduan yang selesa namun cukup menarik di belakang roda.
Bagaimana dengan Honda CR-V? Seperti rebiu kami sebelumnya, ini bagus untuk jalan lurus sahaja, dan bukan ketika mengambil selekoh.
Ia meluncur dengan mudah melalui kawasan bandar dan membuat kami terasa lebih kagum apabila memasuki lebuh raya. Kabin RAV4 sangat senyap berbanding CR-V namun ia tidaklah sesenyap CX-5.
RAV4 terasa sangat selesa pada pemanduan biasa. Namun jika anda merasa sedikit semangat untuk memandu ketika melalui jalan berliku, sistem suspensi dan penyerap hentaknnya mengendalikan tugas tersebut tanpa sebarang masalah.
Anggaplah ia sebagai C-HR yang lebih besar dengan penalaan yang lebih halus, dan anda berada di landasan yang betul.
Di belakang, terdapat banyak ruang kerana bumbungnya cukup tinggi dibandingkan dengan Mazda CX-5. Tidak keterlaluan jika kami katakan ia setaraf dengan CR-V. Tempat duduk belakang juga boleh dilaras, maka tidak ada masalah ketidakselesaan ketika perjalanan yang jauh atau untuk penumpang yang lebih tinggi.
Ruang legar kaki cukup luas, sementara bahan tempat duduk dan anti-slip berkualiti tinggi.
Namun, jika anda lebih cenderung kepada praktikaliti, maka Honda CR-V masih menjadi pilihan yang sesuai untuk ini. Ini kerana RAV4 tidak menawarkan banyak lubang cubby atau pemegang cawan di sekeliling interiornya. Tambahan juga, kad pintunya tebal berbanding CR-V dan ini sedikit memakan ruang di sisi.
Terdapat sistem ventilasi penghawa dingin belakang dilengkapi dengan 2 tempat pengecasan USB di bawah. Selalunya jarang untuk Toyota meletak tempat pengecasan USB mahupun tempat pemegang cawan kerana biasanya anda hanya mendapat sistem ventilasi penghawa dingin sahaja.
Bunyi angin hanya dapat didengari pada kelajuan melebihi had laju. Kebisingan enjin dan jalan pun telah ditebat dengan baik
Oleh kerana ini adalah ujian pemanduan ringkas, kami tidak dapat melakukan pengukuran ujian kebisingan kabin, tetapi ikuti kami di halaman Facebook kami untuk maklumat lebih lanjut pada masa akan datang.
RAV4 dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 2.0 (TSS 2.0), yang merangkumi:
Selain itu, RAV4 dilengkapi dengan 7 beg udara (depan, sisi, tirai, lutut pemandu), perakam video digital depan & belakang (DVR), sistem amaran tekanan tayar, dan jaminan jarak tempuh tanpa had selama 5 tahun.
Harganya yang sedikit kontroversi pasti memecahbelahkan pendapat dan menimbulkan kekacauan di media sosial. Untuk membayar tambahan RM 30,000 daripada Mazda CX-5 dan Honda CR-V pastinya bukan jumlah yang sedikit.
Sekiranya anda mahukan praktikaliti dan status jenama, anda lebih baik dengan Honda CR-V. Jika anda jenis yang suka memandu, hargai seni pertukangan, dan tidak terganggu dengan kekurangan ruang, dapatkan Mazda CX-5.
Akhir sekali, jika anda menginginkan tahap keseimbangan antara keselesaan, kepraktisan, dan pengalaman memandu, kami sangat mengesyorkan Toyota RAV4.
Oleh itu, ia menimbulkan persoalan: adakah RAV4 berbaloi dengan harganya? Jawapan terbaik di sini ialah anda silalah cuba dan pandu ujinya sendiri.
Mudah, dapatkan kereta yang dibeli dengan pantas!
2020 Toyota RAV4 2.0L
Upgrade
Add your car
2019 Mazda CX-9 SKYACTIV-G 2.5
RM 202,400
2022 Proton X50 TGDI Flagship 1.5
2022 Proton X70 TGDI Premium 1.8
Komen