![Kenapa kena pilih Proton Saga Premium 2019 berbanding varian Standard 01]()
Proton Saga 2019 berwajah baru telah mula menjejak kaki dalam pasaran dan Proton juga mengurangkan bilangan model dalam barisan Saga mereka, dari empat varian kepada tiga – Standard MT, Standard AT dan Premium AT.
Dengan langkah ini, syarikat otomotif nasional tersebut telah berjaya mencapai skala dan harga yang lebih berpatutan bawah RM40 ribu dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti keseluruhan dan tahap peralatan yang ditawarkan.
Walaubagaimanapun, jika ada yang masih pening memilih antara dua varian automatik yang ditawarkan, kami amat menggalakkan pembeli untuk memilih varian Premium AT.
![Kenapa kena pilih Proton Saga Premium 2019 berbanding varian Standard 01]()
Dalam pemilihan kenderaan, kita tak seharusnya berkira dalam melabur untuk aspek keselamatan. Saga Premium adalah satu-satunya varian yang didatangkan dengan Electronic Stability Control (ESC) yang bertindak sebagai pelindung apabila kereta mengesan pemanduan yang akan terkeluar dari kawalan.
Mesti ada yang nak cakap, “bukan drive laju pun, rilek la” dan terus anggap ESC itu tak perlu. Tapi, jangan jadi terlalu selesa. Memandu dalam hujan, keadaan jalan raya yang tak elok dah banyak kali menyebabkan pemanduan tiba-tiba jadi huru hara. Dengan cuaca tropika Malaysia, sediakanlah payung ESC sebelum hujan.
![Kenapa kena pilih Proton Saga Premium 2019 berbanding varian Standard 02]()
Tambahan pula, Proton Saga Premium AT juga dilengkapi dengan Hill Hold Assist (HSA) yang sangat berguna untuk mendaki. Ciri-ciri lain yang membuatkan varian Premium lagi best termasuklah sistem infotainment canggih dengan skrin sentuh terapung 7.0-inci, 4 pembesar suara, tempat duduk berfabrik premium dan juga daytime running lights (DRL).
Secara keseluruhannya, beza harga antara Standard AT (RM 35,800) and Premium AT (RM 39,800) bukanlah terlalu jauh. Bila dipecahkan lagi, perbezaannya makin samar:
![Kenapa kena pilih Proton Saga Premium 2019 berbanding varian Standard 03]()
Selain daripada komitmen bulanan yang lebih tinggi, Saga Premium akan menyebabkan kos perjalanan yang tinggi sedikit seperti dalam penukaran tayar berikutan saiz aloi yang besar (15 inci vs 14 inci).
Tetapi, kalau Saga Premium masih kena dengan bajet anda, maka padatan ESC yang ada menjadikan ianya pembelian yang sangat berbaloi. Menang membeli, alah memakai.