ESC adalah sistem elektronik yang mampu menyelamatkan nyawa apabila keadaan memerlukan. Sistem ini sangat penting bagi mengelakkan kereta anda tergelincir ketika memandu.
Beberapa kajian telahpun dibuat untuk menguji hasil keberkesanan ESC. Lebih menarik lagi, ESC didapati mampu mengurangkan risiko kemalangan sebanyak 25% hingga 66%.
Suatu ketika dahulu, fungsi ESC hanya terdapat pada kereta mewah dan high end sahaja. Namun disebabkan kos teknologi yang semakin rendah, kereta entry level kini turut dilengkapi dengan fungsi tersebut. Kali pertama ESC diperkenalkan pada kereta entry level adalah pada Perodua Bezza.
Tahukah anda, selain Perodua Bezza, terdapat beberapa lagi kereta mampu milik yang mempunyai fungsi ESC? Berikut adalah 5 kereta mampu milik dengan kawalan kestabilan elektronik:
Perodua Axia GXtra
Harga RM 34,990 (Bayaran bulanan RM 362*)
ESC lebih dikenali sebagai Vehicle Stability Control (VSC) bagi Perodua. Sejak kemaskini terbaru Axia pada awal tahun 2019, VSC telah ditawarkan pada semua varian kecuali varian G dan varian E yang paling rendah.
Pihak Perodua dilihat komited dengan aspek keselamatan. Justeru itu, tidak hairanlah bahawa semua model Perodua selepas pelancaran Bezza pada tahun 2016 dilengkapi dengan VSC sebagai standard.
Proton Saga Premium
Harga RM 39,800 (Bayaran bulanan RM 412*)
Saga generasi ke 3 ini adalah model terakhir dari model utama PIES (Persona, Iriz, Exora, Saga) yang dilengkapi dengan ESC. Kesemua varian Persona dan Iriz telahpun dilengkapi dengan ciri ESC sebagai standard. Hanya Exora dan Saga varian Premium sahaja dilengkapi dengan ESC. 2 varian selain daripada varian Proton Saga Premium tidak mempunyai ESC.
Kia Picanto 1.2EX
Harga RM 49,888 (Bayaran bulanan RM 517*)
Model Kia dalam pasaran segmen A selalu menjadi tumpuan. Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Kia Picanto hadir dengan 6 beg udara dan ESC. Kia Picanto menerima kemas kini terbaru yang meningkatkan lagi ciri keselamatannya lalu menjadikannya lebih menarik berbanding pesaing segmen A yang lain.
Haval H1 Comfort
Harga RM 62,000 (Bayaran bulanan RM 590*)
Haval H1 didatangkan dengan ciri ESC (atau dikenali sebagai Electric Stability Program oleh Haval) sejak awal pelancarannya. SUV mini ini menjadi kegilaan ramai apabila Perodua Nautica ditamatkan pengeluaran. Mana-mana SUV mini memang sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia.
Toyota Yaris 1.5J
Harga RM 70,888 (Bayaran bulanan RM 734*)
Toyota Yaris 1.5J adalah kereta termahal dalam senarai ini. Ia juga boleh dianggap sebagai kereta paling selamat dalam senarai ini. Toyota Yaris dilengkapi dengan 7 beg udara, Vehicle Stability Control (ESC versi Toyota), Blind-spot monitor dan Rear Cross Traffic Alert.
Itulah senarai 5 kereta mampu milik yang dilengkapi dengan ciri ESC. Namun, harus diingatkan bahawa ESC bukanlah sistem ajaib yang menjamin keselamatan anda 100%. ESC turut mempunyai hadnya yang tersendiri. Keselamatan anda tetap bergantung kepada diri anda seperti pemilihan penggunaan tayar yang baik serta disiplin pemanduan yang selamat.
*Pengiraan dibuat berdasarkan 10% wang deposit pada kadar faedah 2.7%.
Mudah, dapatkan kereta yang dibeli dengan pantas!
2019 Kia Picanto 1.2 EX AT
Upgrade
Add your car
2021 Perodua Ativa X 1.0
Komen