Pelancaran kereta seterusnya di Malaysia menjelang akhir tahun 2021, dari Iriz crossover ke GR 86!
Faisal · May 6, 2021 06:00 PM
Beberapa pelancaran telahpun berlangsung setelah kita memasuki suku kedua tahun 2021. Dengan itu, mari kita saksikan apa lagi yang bakal tembus pasaran Malaysia pada tahun ini.
Apapun, perlu dimaklumkan bahawa setengah kereta yang disenaraikan adalah berdasarkan ramalan dan tertakluk pada pindaan syarikat tersebut. Tanpa melengahkan masa, mari ikuti senarai kami.
UMW Holdings Berhad telah mengeluarkan pelan untuk perkenalkan beberapa model untuk suku keempat tahun 2021. Kami yakin bahawa dua model misteri yang berada dalam pelan ini ialah Toyota Camry facelift dan Toyota GR 86.
Perubahan eksterior untuk Toyota Camry hanyalah pada reka bentuk intake bahagian depan.
Pada bahagian dalam pula, skrin infotainment ditukar kepada jenis berdiri. Corong penyaman udara di tengah juga diturunkan ke bawah skrin tersebut.
Toyota GR 86 pula adalah kembar sportscar Toyota/Subaru di generasi kedua. Ia masih kekal dengan ramuan kereta sport yang organik, iaitu pacuan roda belakang, ringan, dan bertransmisi manual.
Honda City Hatchback / Odyssey facelift 2021
Seperti rantau ASEAN yang lain, Honda Jazz di pasaran Malaysia akan digantikan dengan City Hatchback. Pelancaran model ini dijangka selepas suku kedua tahun 2021.
Memandangkan City Hatchback akan hadir sebagai model pemasangan tempatan (CKD), ia mungkin perlukan sedikit masa.
Trenkuasanya dijangka menggunakan gabungan enjin 1.5L/transmisi CVT yang sama seperti Honda City yang mana ia menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork. Varian hibrid e:HEV juga mungkin ditawarkan.
Selain itu, Honda Odyssey facelift juga dijangka tiba dalam tahun ini.
Volkswagen Golf GTI MK8 2021 pernah diintip di perkarangan Putrajaya tahun lepas. Ia akan dipasang tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan.
Namun begitu, khabar mengenai varian biasa iaitu Golf TSI Mk8 masih belum dapat dipastikan.
Selain itu, Volkswagen Arteon facelift dengan samaran juga pernah dilihat sewaktu ia menjalankan sesi ujian. Perubahan pada bahagian eksterior termasuklah reka bentuk bampar dan grafik lampu belakang. Bahagian dalam pula menampilkan perubahan yang unik untuk membezakannya dengan Passat.
Memandangkan Arteon telah diintip di perkarangan kilang Volkswagen di Pekan, coupe berpintu 4 ini dijangka kekal sebagai model CKD.
Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) telahpun mengambil alih jenama Group PSA di Malaysia. Antara pelancaran pertama di dalam pelan mereka ialah Peugeot 508 dan SUV Peugeot 2008 2021.
Sebaik sahaja dilancarkan, Peugeot 508 akan bersaing dengan Toyota Camry, Honda Accord, dan Volkswagen Passat. Enjin 1.6L turbo 4 silinder (162 PS, 250 Nm tork) yang dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan dijangka menjadi pilihan utama oleh pembeli.
Mengenai Peugeot 2008 pula, SUV segmen B ini diperkenalkan di Eropah pada Jun 2019. Ia bersaing dengan Honda HR-V, Hyundai Kona, dan Proton X50. Model ini dijangka hadir dengan enjin 1.2L turbo 3 silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan.
BMW 5 Series facelift (LCI) / 7 Series M Sport 2021
BMW 5 Series G30 facelift (LCI) 2021 pernah dipertontonkan di Malaysia melalui 2 varian M Sport, iaitu 530e dan 530i. Harganya dianggarkan bermula dari RM 343,000 (530e) hingga RM 396,000 (530i). Ikuti kami untuk pelancarannya tidak lama lagi.
Selain itu, BMW 7 Series G12 dikhabarkan tampil dengan sentuhan M Sport. Memandangkan majoriti dari model BMW yang dijual di Malaysia mempunyai pilihan M Sport dan cukup diminati oleh ramai, tidak salah sekiranya BMW Malaysia menawarkannya untuk 7 Series sekali.
Mercedes-Benz E-Class (W213) facelift 2021 telah diintip lewat tahun lepas tetapi situasi Covid-19 di Malaysia telah menangguhkan pelan pelancarannya. Apapun, pelancaran model facelift untuk kereta eksekutif ini dijangka pada tahun ini juga.
Pada masa yang sama, Mercedes-Benz Malaysia berancang untuk perkenalkan lebih banyak model CKD untuk segmen kompak dan SUV.
Antara model yang berada dalam jangkaan kami ialah A-Class Sedan, GLA, dan juga GLE.
Melalui spyshot yang pernah dilaporkan, sistem infotaiment jenis berdiri yang besar turut dilihat. Pembaharuan ini adalah sama seperti Proton Saga facelift 2019.
Antara perubahan yang mungkin ikut jejak Proton Saga ialah kehadiran transmisi automatik 4 kelajuan bagi menggantikan CVT yang ada sekarang. Namun begitu, sumber yang ada sejak kebelakangan ini melaporkan sebaliknya. Apapun, kami berharap supaya Proton membuat talaan yang baik untuk transmisi yang akan datang.
MG HS dan MG ZS EV, 2 SUV dari jenama British-China ini telah beberapa kali diintip di tanah air.
Untuk maklumat anda, MG HS adalah SUV segmen C yang bersaing terus dengan Honda CR-V, Mazda CX-5, dan Proton X70. Di Thailand, MG HS dikuasakan oleh enjin 1.5L turbo 4 silinder yang menghasilkan 162 PS dan 250 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi DCT 7 kelajuan.
MG ZS EV dilihat di luar Berjaya Times Square pada Julai 2020.
MG ZS pula adalah SUV di segmen B yang bersaing dengan Honda HR-V dan Mazda CX-30. Kami yakin bahawa varian EV akan ditawarkan di Malaysia memandangkan ini satu-satunya varian yang pernah dilihat setakat ini.
Hyundai-Sime Darby Motors telah mengesahkan bahawa Hyundai Kona N-Line akan masuk di Malaysia. Walaupun ini bukanlah Kona N yang paling ‘panas’, crossover segmen B ini agak padu kerana ia dikuasakan oleh enjin 1.6L turbo (198 PS, 265 Nm tork) yang dipadankan dengan transmisi DCT 7 kelajuan.
Mazda BT-50 2021
Mazda BT-50 dibangunkan oleh hasil kolaborasi dengan Isuzu. Walaupun dengan reka bentuk yang tersendiri, ia mempunyai asas dan mekanikal yang sama dengan Isuzu D-Max.
Sebelum ini, pengedar Mazda dari Bermaz Motor, iaitu Bermaz Auto menjelaskan bahawa Mazda BT-50 akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama tahun 2021 tetapi sehingga sekarang, satu batang hidung pun tidak muncul.
Menurut beberapa sumber yang sah, pengedar Mazda di luar negara ingin menunjukkan rasa hormat dengan memberi laluan terhadap rakannya, Isuzu untuk melancarkan D-Max terlebih dahulu.
Beberapa model Great Wall Motors (GWM) telah diintip di sebuah lokasi yang terletak di Shah Alam. Antaranya termasuklah Haval H6, Haval First Love, GWM Pao, Ora Good Cat, dan Ora Black Cat.
Di China, Haval First Love bersaing di segmen SUV yang berharga lebih rendah. Contohnya seperti Geely Boyue (Proton X70). Haval H6 pula bersaing di segmen SUV yang lebih mahal seperti yang ditandingi oleh Honda CR-V.
Ora Good Cat merupakan sebuah kereta elektrik (EV) yang berasaskan platform LEMON yang dibangunkan oleh GWM sendiri. Motor elektrik yang memacu roda depan menjana 145 PS dan 210 Nm tork. Bergantung pada saiz bateri, jarak pemanduannya boleh mencecah 500 km.
Ora Black Cat pula ialah kereta EV GWM yang berharga paling mampu milik. Motor elektriknya hanya menghasilkan 49 PS dan 125 Nm tork. Jarak pemanduannya pula mampu mencapai sejauh 301 km.
Namun begitu, butiran lanjut mengenai model GWM seperti stok, harga, dan pengedar di Malaysia masih belum dapat dipastikan. Apapun, pengedar GWM yang baru dijangka membuat pengumuman dalam masa yang terdekat.
Jadi, inilah antara pelancaran terbesar yang bakal berlangsung di Malaysia untuk 7 bulan yang seterusnya.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen